Jumaat, 2 Disember 2011

Isu Lembu Fidlot: Perwakilan Pahang Minta Pemimpin UMNO Jangan Cetus Kontroversi
Jangan buat kontroversi, susah kami nanti’

KUALA LUMPUR: Pemimpin atasan Umno diingatkan supaya mengelakkan diri daripada dibelenggu pelbagai kontroversi.

Perwakilan Umno Pahang Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata keadaan itu akan menyusahkan pemimpin di peringkat Bahagian sepertinya untuk menjelaskan perkara sebenar kepada ahli bawahan yang lain.

Katanya, ini termasuk skandal projek lembu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) yang dikaitkan dengan Ketua Wanita Umno yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Kebajikan dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

“Kepada pemimpin tolong jangan buat kontroversi. Kami yang dibawah ni payah nak jawab. Salah satunya isu NFC…..sudah cukuplah sampai sini,” katanya ketika membahaskan usul ucapan Presiden di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Selain itu, beliau berpendapat Umno kini perlu menggunakan media baru sepenuhnya termasuk laman sosial Facebook dan Twitter untuk menyebarkan dakyah politik. Umno kini tidak lagi perlu terlalu bergantung kepada akhbar cetak untuk memainkan peranannya.

Wan Amizan turut menyentuh isu Felda dengan membidas pembangkang yang memanipulasi isu nasib peneroka.

Katanya, peneroka perlu bersyukur kerana dengan bantuan mantan Perdana Menteri Kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang berjaya tingkatkan taraf hidup orang Melayu melalui Felda.

Katanya, melalui kerajaan Umno-Barisan Nasional peneroka mampu mendapat keuntungan sehingga mencecah RM10,000 sebulan berbanding pada zaman 70-an yang hanya RM69.90.

“Sekarang ni tanyalah di mana-mana, di setiap rumah peneroka sekurang-kurangnya lima daripada anak mereka memiliki Ijazah,” katanya. -

Tiada ulasan:

Catat Ulasan